Pages

KH Muhammad Saleh Darat

Ulama Besar Jawa Tengah
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ADA orang meriwayatkan bahawa tiga orang ulama yang berasal dari Pulau Jawa adalah sangat masyhur, sama ada tentang pencapaian keilmuan, ramai murid menjadi ulama, mahu pun nyata karamah dan barakah. Tiga orang ulama yang bersahabat, yang dimaksudkan ialah Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani @ Imam Nawawi ats-Tsani (lahir 1230 H/1814 M, wafat 1314 H/1896 M), Muhammad Khalil bin Kiyai Abdul Lathif (lahir 1235 H/1820 M) dan Kiyai Haji Saleh Darat yang lahir di Kedung Cemlung, Jepara, tahun 1235 H/1820 M, wafat di Semarang, hari Jumaat, 29 Ramadhan 1321 H/18 Disember 1903 M) ulama yang diriwayatkan ini.
Ketiga-tiga ulama yang berasal dari Jawa itu juga hidup sezaman dan seperguruan di Mekah dengan beberapa ulama yang berasal dari Patani seumpama Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M, wafat 1325 H/1908 M), Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (lahir 1234 H/1818 M, wafat 1312 H/1895 M) dan lain-lain. Mereka juga seperguruan di Mekah dengan Syeikh Amrullah (datuk kepada Prof. Dr. Hamka) yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat.


PENDIDIKAN
Ayahnya adalah seorang ulama besar dan pejuang Islam yang pernah bergabung dengan pasukan Pangeran Diponegoro dalam perjuangan jihad melawan penjajah Belanda. Beliau ialah Kiyai Haji Umar. Oleh itu Saleh Darat memperoleh ilmu asas daripada ayahnya sendiri. Sesudah itu beliau belajar kepada Kiyai Haji Syahid, ulama besar di Waturoyo, Pati, Jawa Tengah. Kemudian, dibawa ayahnya ke Semarang untuk belajar kepada beberapa ulama, di antara mereka ialah Kiyai Haji Muhammad Saleh Asnawi Kudus, Kiyai Haji Ishaq Damaran, Kiyai Haji Abu Abdillah Muhammad Hadi Banguni (Mufti Semarang), Kiyai Haji Ahmad Bafaqih Ba’alawi, dan Kiyai Haji Abdul Ghani Bima.

Ayahnya Kiyai Haji Umar sangat berhajat menjadikan anaknya itu seorang ulama yang berpengetahuan sekali gus berpengalaman. Ke arah ilmu pengetahuan telah dilaluinya di pendidikan pengajian pondok. Untuk memperoleh pengalaman pula mestilah melalui pelbagai saluran. Seseorang yang berpengetahuan tanpa pengalaman adalah kaku. Sebaliknya seseorang yang berpengalaman tanpa pengetahuan yang cukup adalah ibarat tumbuh-tumbuhan hidup di tanah yang gersang. Seseorang yang berjaya menghimpunkan pengetahuan dan pengalaman hidup yang demikianlah yang diperlukan oleh masyarakat Islam sepanjang zaman. Oleh hal-hal yang tersebut itu, ayahnya telah mengajak Saleh Darat merantau ke Singapura. Beberapa tahun kemudian, bersama ayahnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Bertawakal
Ayahnya wafat di Mekah. Saleh Darat mengambil keputusan dengan bertawakal kepada Allah untuk tinggal di Mekah kerana mendalami pelbagai ilmu kepada beberapa orang ulama di Mekah pada zaman itu. Di antara gurunya ialah: Syeikh Muhammad al-Muqri, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Ahmad Nahrawi, Sayid Muhammad Saleh bin Sayid Abdur Rahman az-Zawawi, Syeikh Zahid, Syeikh Umar asy-Syami, Syeikh Yusuf al-Mishri dan Syeikh Jamal Mufti Hanafi.

Setelah beberapa tahun belajar, di antara gurunya yang tersebut memberi izin beliau mengajar di Mekah sehingga ramai pelajar yang datang dari dunia Melayu menjadi muridnya. Di antara muridnya sewaktu beliau mengajar di Mekah ialah Kiyai Haji Hasyim, Kiyai Haji Bisri Syansuri, dan ramai lagi.

Beberapa ulama yang tersebut itu, iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, dan Syeikh Umar asy-Syami adalah ulama-ulama yang mengajar di Masjid al-Haram, Mekah dalam tempoh masa yang sangat lama, sejak ulama yang sebaya dengan Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Haji Saleh Darat, Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan lain-lain, hinggalah ulama-ulama peringkat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kiyai Saleh Darat sebaya umurnya dengan ayah Syeikh Ahmad al-Fathani, namun sama-sama seperguruan dengan ulama-ulama Arab yang tersebut di atas.

PONDOK PESANTREN
Setelah menetap di Mekah beberapa tahun belajar dan mengajar, Kiyai Saleh Darat terpanggil pulang ke Semarang kerana bertanggungjawab dan ingin berkhidmat terhadap tanah tumpah darah sendiri. `Hubbul wathan minal iman’ yang maksudnya, `kasih terhadap tanah air sebahagian daripada iman’ itulah yang menyebabkannya mesti pulang ke Semarang. Sebagaimana tradisi ulama dunia Melayu terutama ulama Jawa dan Patani pada zaman itu, bahawa setelah pulang dari Mekah mestilah mengasaskan pusat pengajian pondok. Kiyai Saleh mengasaskan pondok pesantren di daerah Darat yang terletak di pesisir pantai kota Semarang. Sejak itulah beliau dipanggil orang dengan gelaran Kiyai Saleh Darat Semarang.

Terkenal
Dengan mengasaskan pondok pesantren itu nama Kiyai Haji Saleh Darat menjadi lebih terkenal di seluruh Jawa terutama Jawa Tengah. Ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal, di antara mereka ialah: Kiyai Haji Hasyim Asy’ari (ulama besar di Jawa, beliau termasuk salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama), Kiyai Haji Muhammad Mahfuz at-Tarmasi (seorang ulama besar dalam Mazhab Syafie yang sangat ahli dalam bidang ilmu-ilmu hadis), Kiyai Haji Ahmad Dahlan (pengasas organisasi Muhammadiyah), Kiyai Haji Idris (pengasas Pondok Pesantren Jamsaren, Solo), Kiyai Haji Sya’ban (ulama ahli falak di Semarang) dan Kiyai Haji Dalhar (pengasas Pondok Pesantren Watucongol, Muntilan, Magelang). Raden Ajeng Kartini yang menjadi simbol kebangkitan kaum perempuan Indonesia juga adalah murid Kiyai Saleh Darat.

Tiga orang di antara murid beliau adalah disahkan sebagai Pahlawan Nasional Indonesia, iaitu; Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1868 M – 1934 M), dengan Surat Keputusan Pemerintah RI, No. 657, 27 Disember 1961, dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional. Hadhratusy Syeikh Kiyai Haji Hasyim Asy’ari (1875 M – 1947 M), dengan Surat Keputusan Presiden RI, No. 294, 17 November 1964 dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional dan Raden Ajeng Kartini (1879 M – 1904 M), dengan Surat Keputusan Presiden RI, No. 108, 12 Mei 1964 dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional.

Murid Kiyai Haji Saleh Darat yang sangat terkenal di peringkat antarabangsa kerana karangannya menjadi rujukan ialah Kiyai Haji Muhammad Mahfuz at-Tarmasi atau menggunakan nama lengkap Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi (1285 H/1868 M – 1358 H/1939 M). Dua buah karyanya yang besar dan sangat terkenal dalam bahasa Arab ialah Muhibah Zawin Nazhar syarah Kitab Ba Fadhal merupakan kitab fikah Mazhab Syafie yang ditulis dalam empat jilid tebal. Dan sebuah lagi Manhaj Zawin Nazhar merupakan syarah kitab hadis membicarakan ilmu mushthalah dan lain-lain yang ada hubungan dengan hadis.

PENULISAN
Di antara karangan Kiyai Haji Syeikh Saleh Darat as-Samarani yang telah diketahui adalah seperti berikut:

1. Kitab Majmu’ah asy-Syari’ah al-Kafiyah li al-’Awam, kandungannya membicarakan ilmu-ilmu syariat untuk orang awam
2. Kitab Munjiyat, kandungannya tentang tasawuf, merupakan petikan perkara-perkara yang penting dari kitab Ihya’ `Ulum ad-Din karangan Imam al-Ghazali
3. Kitab al-Hikam, kandungannya juga tentang tasawuf, merupakan petikan perkara-perkara yang penting daripada Kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu `Athaullah al-Askandari.
4. Kitab Latha’if at-Thaharah, kandungannya membicarakan tentang hukum bersuci
5. Kitab Manasik al-Hajj, kandungannya membicarakan tatacara mengerjakan haji
6. Kitab ash-Shalah, kandungannya membicarakan tatacara mengerjakan sembahyang
7. Tarjamah Sabil al-`Abid `ala Jauharah at-Tauhid, kandungannya membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, mengikut pegangan Imam Abul Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi.
8. Mursyid al-Wajiz, kandungannya membicarakan tasawuf atau akhlak.
9. Minhaj al-Atqiya’, kandungannya juga membicarakan tasawuf atau akhlak.
10. Kitab Hadis al-Mi’raj, kandungannya membicarakan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Baitul Maqdis dan selanjutnya hingga ke Mustawa menerima perintah sembahyang lima kali sehari semalam. Kitab ini sama kandungannya dengan Kifayah al-Muhtaj karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
11. Kitab Faidhir Rahman, kandungannya merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran ke dalam bahasa Jawa. Kitab ini merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Jawa di dunia Melayu. Menurut riwayat, satu naskhah kitab tafsir tersebut pernah dihadiahkan kepada Raden Ajeng Kartini ketika berkahwin dengan R.M. Joyodiningrat (Bupati Rembang).
12. Kitab Asrar as-Shalah, kandungannya membicarakan rahsia-rahsia sembahyang.

Hampir semua karya Kiyai Haji Saleh Darat ditulis dalam bahasa Jawa dan menggunakan huruf Arab (Pegon atau Jawi); hanya sebahagian kecil yang ditulis dalam bahasa Arab. Di tangan saya hanya terdapat sebuah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Yang ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan nama Syeikh Muhammad Shalih bin Umar as-Samarani. Sebahagian besar kitab-kitab yang tersebut sampai sekarang terus diulang cetak oleh beberapa percetakan milik orang Arab di Surabaya dan Semarang. Ini kerana ia masih banyak diajarkan di beberapa pondok pesantren di pelbagai pelosok Jawa Tengah.

Ada orang berpendapat bahawa orang yang paling berjasa menghidupkan dan menyebarluaskan tulisan Pegon (tulisan Arab bahasa Jawa) ada tiga orang, ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Khalil al-Maduri dan Kiyai Haji Saleh Darat Semarang. Pada pandangan saya, Kiyai Haji Saleh Darat adalah yang lebih dapat diakui, kerana apabila kita pelajari karya-karya Syeikh Nawawi al-Bantani semuanya dalam bahasa Arab bukan dalam bahasa Jawa. Kiyai Khalil al-Maduri pula hingga kini saya belum mempunyai karya beliau sama ada dalam bahasa Jawa, atau pun bahasa Melayu mahu pun dalam bahasa Arab.

No comments:

Post a Comment

Temukan kami di Facebook: Kumpulan Kisah Ulama di Facebook.